Home Mission Project Get Involved News Mt.Everest Contact Us Highlights Links Webmail Login

Copyright 2005 TR Everest Charity 2006. All rights reserved.
Our site is best viewed on Netscape or Internet Explorer 5.0
and above at 1024x768 pixels.

 

23 Februari, 2006 10:57 AM
Kanak-kanak Istimewa Bantu Bersihkan Gunung Ledang

MUAR, 23 Feb (Bernama) -- Gunung Ledang di Sagil dekat sini bukan calang-calang gunung untuk ditawan pendaki.Tersilap langkah boleh membawa padah kerana gunung setinggi 1,276 meter itu sebenarnya tersenarai sebagai gunung keenam paling sukar didaki di Semenanjung Malaysia.

Walaupun laluan ke puncaknya telah disediakan pelbagai kemudahan pendakian seperti anak tangga dan tali, sebarang usaha untuk menawannya tetap memerlukan kesabaran, kemantapan fizikal dan ketahanan mental.Dan itulah yang telah dipamerkan sekumpulan kanak-kanak istimewa bersemangat waja yang menyertai satu ekspedisi pendakian gunung itu baru-baru ini.

Ekpedisi Penilaian Kesan Alam Sekitar Gunung Ledang oleh Kanak-kanak Istimewa 2006" itu dianjurkan sebuah firma perunding, TR Group of Companies, untuk membolehkan kanak-kanak berkenaan menghargai alam sekitar serta menilai kesan kerosakannya akibat perbuatan manusia.

Ekspedisi diketuai oleh pengarah urusan syarikat itu, T. Ravichandran, seorang anak muda yang akan membuat cubaan mendaki Gunung Everest menerusi Tibet secara solo antara Mac dan Jun ini.

Walaupun kedengaran seperti mustahil, ketabahan 20 kanak-kanak istimewa dari beberapa rumah kebajikan seperti Bethany Homes dari Perak dan Persatuan Kanak-kanak Cacat Akal Selangor dan Wilayah Persekutuan yang dipimpin Ravichandran itu membuahkan kejayaan yang amat memberangsangkan.

Ravichandran berkata selain berjaya sampai ke puncak gunung, kanak-kanak terbabit juga berpeluang menikmati khazanah alam semula jadi di sekelilingnya, sekaligus membuka mata masyarakat untuk lebih bertanggunjawab terhadap alam sekitar.Katanya hasil kajian dan sampel yang dikumpulkan oleh kanak-kanak itu akan diserahkan kepada Jabatan Alam Sekitar negeri untuk dianalisis.

Selain memungut sampel air sungai, tanah dan pokok-pokok kecil, mereka juga mengumpul cebisan sampah sarap yang ditinggalkan pendaki terdahulu serta merekodkan laluan-laluan yang mengalami hakisan.

Ravindran berharap maklumat yang dikumpul itu dapat membantu pihak pengurusan Taman Negara Johor Gunung Ledang (TNJGL) mendidik pendaki agar lebih bertanggunjawab terhadap kebersihan dan keaslian persekitaran gunung itu.

Pengurus TNJGL Johor Gunung Ledang, Francis Cheong Fook Meng, berkata kerosakan yang berlaku di kawasan Gunung Ledang terutama di laluan-laluan ke puncak gunung kini semakin serius dan mungkin bertambah teruk dalam jangka masa dua atau tiga tahun lagi jika sesuatu tidak dilakukan segera.

"Tahun lepas sahaja kita bawa turun lebih tiga tan sampah sarap. Ini amat menyedihkan kerana banyak pendaki tidak sedar bahawa selain datang untuk berekreasi, mereka juga ada tanggungjawab untuk menjaga alam sekitar di sini," katanya.Menurut beliau masalah hakisan juga menyebabkan muka bumi Gunung Ledang semakin terancam.

"Sejak dulu lagi pendaki mengamalkan cara menggali lubang dan menanam sampah setelah berkhemah. Malangnya akibat hakisan sampah yang ditanam itu timbul di permukaan dan mencemarkan persekitaran," katanya.Cheong berkata arahan telah dikeluarkan agar setiap pendaki membawa turun semua sampah sarap yang mereka hasilkan. Malangnya masih ada yang tidak mematuhi arahan itu.

"Sekarang kita telah laksanakan sistem senaraian barang yang dibawa pendaki serta menguatkuasakan peraturan supaya mereka membawa turun apa jua sampah yang dihasilkan," katanya.

Bagi memastikan arahan itu dipatuhi, setiap pendaki dikenakan bayaran deposit RM50. Wang itu akan ditolak sekiranya mereka tidak mematuhi peraturan.Cheong berkata TNJGL telah memasang bantal penyendal diperbuat daripada sabut kelapa di beberapa kawasan sepanjang laluan bagi mengelak hakisan bertambah teruk.

Tangga aluminium juga diletakkan di beberapa laluan yang didapati terjejas akibat hakisan supaya tidak membahayakan keselamatan pendaki.TNJGL meliputi kawasan seluas 10,000 hektar dan merupakan taman negara kedua terbesar di Johor selepas Taman Negara Endau Rompin.

Selain kaya dengan kepelbagaian flora dan faunanya, TNJGL juga terkenal dengan lagenda Puteri Gunung Ledang yang kononnya menghuni kawasan gunung itu pada zaman Kesultanan Melayu Melaka.Hampir 15,000 orang berkunjung ke gunung itu setiap tahun, termasuk 10,000 yang berjaya sampai ke puncak.

Pada zaman Kesultanan Melayu Melaka gunung itu menjadi petunjuk kepada pelayar di Selat Melaka. Ia juga pernah dikenali dengan nama Gunung Emas di kalangan pendatang Cina yang mendulang galian berharga itu di situ.

-- BERNAMA