กก
กก
กก
PC with UFL Harian Metro 16 Mac 2006
SEDIA TAWAN EVEREST- Ravichandran daki dari Tibet kerana lebih mencabar!
Oleh Mohamad Hussin mohamad@hmetro.com.my
KEPONG: "Saya akan membuktikan kepada dunia, anak Malaysia juga mampu menakluki Gunung Everest secara solo. Gunung yang mempunyai 8,848 meter itu memerlukan mereka yang berjiwa kental, berani menyahut cabaran serta bersedia dari segi fizikal dan mental. "Ekspedisi ini dianggap cukup mencabar kerana saya akan mendaki dari arah utara, iaitu Tibet yang sememangnya tidak digemari kebanyakan pendaki Everest."
"Kebiasaannya mereka menggunakan laluan biasa dari arah selatan di Nepal kerana laluan Tibet lebih sukar dan berisiko tinggi," kata Ravichandran Tharumalinggan, 40, yang akan mendaki Gunung Everest secara solo pada 25 Mac depan.
Katanya, laluan Tibet berisiko kerana permukaannya lebih curam serta terdedah kepada angin dan ribut yang boleh mencapai kelajuan 180 kilometer sejam. Malah, suhunya juga boleh mencecah sehingga -60 darjah celcius.
"Laluan Tibet juga tidak mempunyai kemudahan mendaki seperti yang sudah tersedia di Nepal. Sehubungan itu, pendaki yang mengikuti laluan berkenaan perlu membuat laluan sendiri selain terpaksa menggunakan banyak tangga.
"Saya bukan saja bersendirian, tetapi perlu membawa sendiri barangan dan peralatan dengan berat kira-kira 30 kilogram," katanya pada sidang media selepas menerima kelengkapan mendaki tajaan Universal Fitness Leisure Sdn Bhd (UFL), disini, semalam.
Turut hadir Pengarah Eksekutif UFL, Malek Noor dan Penolong Pengurus Besar (Jualan dan Pemasaran) UFL, Benny Lim; Pengurus Jualannya, Melissa Ralib dan Pengurus Jenamanya, Leslie Khaw. Pendakian solo itu yang dijangka tamat minggu pertama Jun 2006 bermatlamat mengumpul RM2 juta bagi disalurkan kepada pelbagai tabung kebajikan di negara ini. Sumbangan daripada syarikat korporat akan disalurkan kepada lapan pertubuhan kebajikan, termasuk Tabung Bersamamu TV3 dan Majlis Kanser Negara (MAKNA).
Sementara itu, Malek berkata, pihaknya menaja kelengkapan jenama The North Face bernilai RM10,000 bagi kemudahan Ravichandran menawan Gunung Everest, puncak yang tertinggi di dunia. Antara set kelengkapan yang ditaja ialah jaket sejuk, beg sandang, beg tidur, kasut dan sarung tangan.
